Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

GEORGE TOWN – Lebih 80 peratus daripada kes jenayah yang berlaku di negara dan diviral dalam laman sosial media tahun ini sehingga hujung Mei lepas telah dapat diselesaikan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis sentiasa memantau video yang merakamkan kejadian jenayah yang berlaku di seluruh negara dan kebanyakan telah dibuka kertas siasatan.

“Bermula Januari sehingga hujung Mei tahun ini, 35 rakaman video kejadian jenayah yang berlaku di negara telah berjaya dikesan dan kertas siasatan telah dibuka di mana sejumlah 29 kes dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T. Narenasagaran di sini, hari ini.

Kebanyakan kes yang dirakam dan diviralkan dalam media sosial adalah kejadian jenayah yang mendatangkan cedera, peras ugut, rusuhan, cubaan bunuh dan curi kenderaan.

Huzir berkata, masih terdapat enam kes daripada 35 kertas siasatan yang dibuka tahun ini masih dalam peringkat siasatan dan selebihnya telah berjaya dituduh atau direman sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwaraya.

“Daripada 29 kes yang berjaya diselesaikan, 87 individu berjaya ditangkap, 25 individu dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan manakala baki masih dalam siasatan dan tunggu arahan DPP,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang rakaman kejadian jenayah boleh menyalurkan ke dalam laman sosial rasmi PDRM seperti “facebook PDRM”, Twitter PDRM atau Whatsapp PDRM viral video mengikut talian 019-3019930.

Sementara itu, dalam kejadian pergaduhan di Lebuh Chulia yang diviral dalam media sosial baru-baru ini, Narenasagaran berkata, polis telah melakukan siasatan dengan memeriksa beberapa premis hiburan, merampas peralatan muzik di premis beroperasi tanpa lesen sah dan menahan beberapa individu di kawasan berkenaan untuk disoal siasat.

Siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula berikutan isu perselisihan faham pembayaran makanan oleh pelanggan warga asing sebelum campur tangan orang ramai.

“Saya mahu mengingatkan semua pengusaha premis pusat hiburan supaya mematuhi undang-undang sedia ada dan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mana-mana pusat hiburan yang didapati melanggar undang-undang khususnya di kawasan Lebuh Chulia,” katanya. – Bernama