KUALA LUMPUR – Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor mengaktifkan seluruh pasukan Jabatan Amal dan Amal Rescue Team (ART) peringkat negeri itu untuk memberi bantuan bagi kes-kes kerosakan kenderaan ringan kepada warga Lembah Klang yang pulang selepas bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, pasukan itu telah beroperasi sejak semalam dan khidmat berkenaan ditawarkan kepada ahli Pas.

Malah katanya, perkhidmatan itu turut ditawarkan kepada masyarakat umum sebagai memberi kelancaran terhadap pergerakan aliran trafik.

Ujarnya, antara khidmat yang diberikan pasukan itu ialah membantu pemilik kenderaan yang mengalami masalah seperti pertukaran tayar pecah atau bocor, kehabisan minyak, tunda kenderaan dan sebagainya.

Tambah beliau, orang ramai yang inginkan perkhidmatan itu boleh berinteraksi melalui aplikasi Whatsapp di nombor 010-3836383 atau menghubungi talian 010-836 5007.

Maklumat terperinci mengenai khidmat ini juga telah mula ditularkan melalui WhatsApp kepada orang ramai sejak semalam, katanya. – MalaysiaGazette