Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pagi Aidilfitri, Rabu lalu. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor diketuai Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor antara yang pertama mengunjungi Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada pagi Aidilfitri, Rabu lalu.

Titah baginda, ketibaan mereka disambut mesra bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah serta Keluarga Diraja Johor.

Tetamu-tetamu kehormat itu turut diraikan dalam satu majlis santapan pagi bersama Baginda Tuanku Sultan serta Keluarga Diraja Johor.

“Sultan Johor kemudian berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Johor di Saujana, Johor Bahru dan baginda turut beramah-mesra bersama para pengunjung serta penyokong PH dengan mengenepikan segala protokol.

“Baginda juga menyambut kehadiran rombongan kepemimpinan Pakatan Harapan Johor pada Majlis Rumah Terbuka Istana Johor Khamis lalu (6 Jun) yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru,” jelas entri terbaharu Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim turut meluangkan masa serta beramah-mesra bersama kepemimpinan Kerajaan Negeri Johor di Khemah Diraja pada majlis berkenaan.

“Sultan Johor sentiasa mengalukan-alukan kehadiran pelbagai pihak dalam mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam,” tulis entri itu lagi.

Semalam portal Malaysiakini mengeluarkan satu laporan bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ berikutan Sultan Johor telah menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sempena sambutan Aidilfitri.

Laporan portal berita itu yang memetik sumber berkata, ia merupakan kali pertama Sultan Ibrahim mengundang jemputan hari raya kepada rombongan UMNO sahaja dan pertemuan tersebut berlangsung selama lebih satu jam setengah dalam suasana mesra.

Malaysiakini turut memetik sumber Pakatan Harapan bahawa tiada undangan ke majlis rumah terbuka Aidilfitri seumpama itu kepada mereka daripada istana buat masa ini. – MalaysiaGazette