Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Perpaduan masyarakat Melayu di negara ini tidak bergantung sepenuhnya kepada penggabungan atau kerjasama antara parti politik Melayu semata-mata.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahya berkata, penyatuan itu perlu merentasi isu parti politik Melayu dengan mengambil kira kepentingan pelbagai isu orang Melayu.

“Sebahagian besar masyarakat Melayu beranggapan bahawa perpaduan ini terhenti setakat di peringkat parti politik, iaitu perpaduan atau kerjasama antara parti politik; terutama Pas dan UMNO selaku dua tonggak parti orang Melayu.

“Pemikiran ahli politik Melayu harus merentasi isu parti dengan mengambil kira semua orang Melayu dari pelbagai latar belakang dan kepentingan.

“Dalam erti kata lain, agenda pemimpin Melayu dari mana-mana parti semestinya membawa bisikan setiap denyutan nadi dan isi hati orang Melayu secara keseluruhannya,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Aminuddin juga berkata, pemimpin politik harus sedar bahawa jutaan orang Melayu tidak berminat malah tidak mahu terlibat dengan mana-mana parti politik.

“Mereka ini NGO, ketua masyarakat, ulamak-ulamak, guru-guru pondok, golongan professional, generasi muda, ahli-ahli perniagaan, orang perseorangan dan lain-lain.

“Malah sebahagian daripada mereka ini sudah meluat dengan retorik parti yang sekadar mahu undi mereka,” katanya.

Sebaliknya beliau berkata, konsep perpaduan yang dibawa parti politik Melayu itu perlu inklusif dan bukan lagi eksklusif seperti sebelum ini.

“Barulah seruan itu nanti akan lebih menyeluruh dan benar-benar lahir daripada rintihan rakyat.

“Maka, manifesto yang dikemukakan nanti akan menterjemahkan keprihatinan terhadap setiap lapisan masyarakat Melayu.

“Saya berkata demikian kerana banyak situasi, perkara dan aspek yang ‘golongan yang ditinggalkan’ ini nampak apa yang ahli politik tidak nampak,” katanya.

Katanya lagi, peminggiran isu Melayu terbanyak disebabkan oleh amalan sistem politik kepartian dan bukan politik kenegaraan, di mana kedudukan di dalam parti itu lebih penting daripada keadaan rakyat.

“Ini bercanggah dengan konsep Siyasah Syariah yang melihat politik itu melangkaui politik kepartian semata tetapi seluruh sistem kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, kebanyakan parti politik Melayu di mana agendanya hanya berkiblatkan kepada mendapatkan kuasa semata-mata hingga menafikan hak pembangkang yang seagama dan sebangsa.

“Parti yang berjaya memegang kuasa akan mengaut segala kedudukan dan hasil mahsul negara serta mengenepikan pihak pembangkang sepenuhnya.

“Kalau boleh, mereka mahu melumpuhkan terus kekuatan pembangkang walaupun mereka adalah seagama dan sebangsa.

“Demi mencapai kuasa mereka akan berbuat apa saja termasuk bersekongkol dengan pihak yang menentang perjuangan Melayu itu sendiri.

“Walaupun mereka mengungkapkan pejuangan Melayu di bibir mereka, tetapi pada hakikatnya tidak,” katanya.

Beliau turut berkata, merempatnya orang Melayu pada hari ini bukannya kerana mereka malas tetapi kerana sikap pemimpin yang melihat kuasa sebagai segala-galanya.

“Walaupun sejak merdeka, negara dipimpin oleh orang Melayu tetapi sebenarnya yang kaya hanyalah kroni-kroni politik.

“Perpaduan Melayu yang kita kehendaki adalah perpaduan prinsip bukan hanya perpaduan fizikal atau kekuasaan posisi semata-mata,” katanya.

Katanya lagi, orang Melayu tidak takut kepada perpecahan walaupun ada 100 parti baharu kerana mereka mengetahui apabila menyentuh Islam, Melayu dan Raja, mereka akan bersolidariti bersama di dalam mahupun luar Parlimen.

“Inilah perkara yang mesti diwacanakan secara terus terang, tulus dan mulus di kalangan pemimpin Melayu, bukannya berlumba-lumba untuk menjatuhkan satu sama lain secara total.

“Jika tidak ada pihak yang sanggup menjadi pemudahcara, biarlah ISMA yang mengemudikan perbincangan pemikiran baru perpaduan Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette