Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memeriksa hampir 100,000 orang warga asing melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini menerusi 7,940 operasi mulai 1 Januari hingga 4 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah yang diperiksa, seramai seramai 23,295 orang PATI telah diambil tindakan undang-undang.

“Daripada jumlah itu warganegara Indonesia merupakan PATI yang paling ramai ditangkap iaitu 8,011 orang atau 34 peratus diikuti warganegara Bangladesh seramai 5,272 orang (23 peratus).

“Selebihnya adalah warganegara Myanmar, Filipina,Thailand dan lain-lain yang telah ditangkap dan diambil tindakan .

“Dalam tempoh lima bulan yang sama juga seramai 26,116 orang PATI telah diusir ke negara asal,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Selain itu, beliau juga menyebut bahawa dalam tempoh yang sama seramai 605 orang majikan telah diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan tegas di bawah Akta Imigresen 1959/63 di mana majikan akan didakwa bagi kesalahan utama iaitu di bawah Seksyen 55A untuk membawa masuk PATI secara tidak sah ke dalam negara.

“Seksyen 55B juga dikuatkuasakan ke atas majikan jika bersalah menggaji PATI yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap orang yang diambil bekerja, Seksyen 55E untuk membenarkan PATI masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 56(1)(d) untuk kesalahan melindungi PATI.

“Di samping itu majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM),” ujar beliau.

Justeru katanya, kementerian sedar senario kebanjiran PATI di Malaysia masih menjadi isu nasional yang belum dapat diatasi secara holistik.

Masalah berkenaan juga menurut beliau, menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan negara dan keselamatan persempadanan, tetapi turut memberi impak yang cukup besar terhadap kestabilan politik dan juga pertumbuhan ekonomi.

Kementerian melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain terutamanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti menjadi tumpuan warganegara asing.

“Imigresen juga turut melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)/ Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan penduduk dalam menyalurkan maklumat keberadaan PATI dalam menangani masalah PATI secara holistik,” tegas beliau-MalaysiaGazette