Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JULAI 2018.

Setelah setahun memimpin semula negara, kini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sudah tidak banyak masa untuk mentadbir negara.

Walaupun tidak ada perjanjian bertulis secara rasmi, namun semua sudah ambil maklum bahawa masa yang diberi kepada Dr Mahathir untuk mentadbir negara cuma dua tahun sahaja.

Jika menepati perjanjian dalam kalangan ahli komponen Pakatan Harapan (PH), beliau perlu menyerahkan kuasa kepada penggantinya sebelum atau pada 10 Mei 2020.

MGF090519_PERUTUSAN PERDANA02
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 MEI 2019

Satu tahun yang berlalu begitu singkat untuk Dr Mahathir. Walaupun sudah banyak perkara dilakukan olehnya, namun itu belum cukup buat Dr Mahathir kerana masih banyak perkara yang belum dapat diselesaikan.

Kemerosotan nilai ringgit, kejatuhan harga komoditi, penyelesaian kes-kes rasuah, perjanjian projek mega, kerjasama politik antarabangsa sehinggalah projek pelaburan asing masih belum dapat diselesaikan dengan jayanya.

Jika benar Dr Mahathir perlu melepaskan jawatannya pada tahun depan, masa beliau cuma berbaki setahun lagi untuk menyelesaikan semua perkara yang masih tertangguh.

Kesuntukan masa yang dihadapi oleh Dr Mahathir ada kalanya memaksa beliau membuat keputusan dengan begitu cepat dan drastik.

Buktinya, baru-baru ini beliau melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Shukri Abdul. Lantikan tersebut dibuat secara cepat tanpa melalui banyak proses perbincangan.

Jika beliau mahu mengambil pandangan semua pihak, disusuli mesyuarat dan perbincangan daripada semua pihak, proses perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM akan menjadi lebih lambat.

Dr Mahathir terkenal dengan sifat tegas, menghargai masa dan berani membuat keputusan. Disebabkan sifat-sifat tersebut, kebanyakan ahli Kabinet tidak banyak membantah kerana masing-masing juga sibuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Perdana Menteri.

MGF060519_TEMUBUAL KHAS PERDANA MENTERI06
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa temubual khas di Bangunan Perdana Putra (PMO), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2019

Majoriti jemaah menteri ketika ini mula sibuk menjalankan tugas di kementerian masing-masing. Bermula daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Belia dan Sukan sehinggalah Kementerian Industri Utama, semuanya sibuk bekerja.

Apabila era pentadbiran Dr Mahathir berakhir, kemungkinan besar akan berlakunya perubahan besar dalam struktur Kabinet. Menteri-menteri yang berpeluang menjawat jawatan di bawah kepimpinan Dr Mahathir tidak semuanya akan kekal dengan jawatan masing-masing.

Sebab itulah, semua menteri Kabinet bertungkus-lumus bekerja dan berusaha menyumbang sepenuh tenaga membantu pentadbiran Dr Mahathir supaya mereka kekal relevan pada masa akan datang.

Setahun yang berbaki untuk Dr Mahathir mentadbir negara harus dimanfaatkan dengan sebaiknya supaya peralihan kuasa dapat dijalankan dengan sebaiknya. Berbekalkan pengalaman dalam arena politik negara, sudah pasti Dr Mahathir akan memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Oleh Syahmi Minhad. Penulis merupakan pembaca Malaysia Gazette