KUALA LUMPUR – Gara-gara cuba menyamar sebagai anggota pasukan peronda, seorang lelaki terpaksa tidur dalam lokap selepas ditahan kerana kesalahannya menggunakan siren polis.

Tingkah laku lelaki berusia 34 tahun yang memasang siren tersebut dipercayai untuk mendapatkan laluan bagi mempercepatkan perjalanannya ketika meredah kesesakan lalu lintas di Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada Khamis lepas.

Rakaman penggunaan siren yang dipasang pada kereta jenis Proton Gen 2 warna hitam yang dipandu lelaki terbabit menjadi tular dilaman sosial hingga mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pihaknya telah menahan lelaki terbabit pada Sabtu susulan aduan yang dibuat oleh orang awam.

“Semasa penahanan itu, polis merampas sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan suspek.

“Selain itu, satu set siren yang telah dipasang dalam kereta berkenaan turut ditemukan,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 kerana kesalahan menghalang lalu lintas serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Jika sabit dengan kesalahan halangan lalu lintas itu, suspek boleh didenda sebanyak RM200 atau dipenjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan menyamar penjawat awam, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah terutama di musim perayaan yang sering berlaku kepadatan serta kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette