KUALA LUMPUR – Pelabur-pelabur asing membeli sebanyak RM350 juta dana tempatan pada minggu lalu berbanding RM48.8 juta pada minggu sebelumnya.

Ia merupakan lonjakan tujuh kali ganda berbanding jumlah yang dibeli pada minggu sebelumnya, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research.

Menurutnya, aliran masuk pelabur asing mingguan di Malaysia itu adalah seiring dengan majoriti enam pasaran Asia lain yang dipantau kecuali Korea Selatan dan Filipina.

“Bursa memulakan minggu dengan langkah kanan kerana pelabur antarabangsa membeli sejumlah RM231.5 juta ekuiti tempatan pada hari Isnin, menandakan hari kedua aliran masuk bersih asing melebihi RM200 juta,” kata firma penyelidikan itu.

Momentum kukuh pembelian bersih asing menaikkan FBM KLCI sebanyak 0.2 peratus untuk ditutup pada 1,655 mata pada hari yang sama, penutupan tertinggi yang dilihat sejak 22 Mac, 2019.

MIDF Research berkata, peningkatan belian pada hari Isnin dipacu oleh musim pengumuman perolehan korporat yang menyaksikan banyak kejutan positif.

Katanya, dana asing masih membuat belian pada hari Selasa sebelum cuti selama dua hari sempena Hari Raya Aidilfitri dengan jumlah RM96.8 juta di bursa tempatan.

Malah, sebaik sahaja bursa dibuka semula pada hari Jumaat, dana-dana asing masih membeli ekuiti tempatan tetapi pada kadar lebih perlahan iaitu RM21.8 juta.

MIDF Research menambah, aliran masuk bersih asing minggu lepas sebanyak RM350 juta telah menurunkan aliran keluar bersih asing tahun ke tahun dari Malaysia kepada RM4.45 bilion daripada RM4.80 bilion pada minggu sebelumnya.

Tambah firma itu, kejatuhan dalam penyertaan pelabur untuk pasaran runcit, pelabur asing dan dana institusi tempatan semasa minggu yang dipendekkan adalah tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing kekal sihat pada paras AS$1 bilion meskipun penurunan 54 peratus pada ADTV mingguan.

Katanya, hanya pasaran runcit mempunyai ADTV mingguan yang jauh rendah di bawah RM500 juta, paling rendah setakat ini untuk tahun ini. – MalaysiaGazette