Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

MELAKA – Penjawat awam di negara ini perlu bebas daripada terikat dengan parti pemerintah dan menjalankan tugas mereka dengan berkecuali, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu memahami bahawa mereka perlu akur terhadap tindakan dan dasar dibuat oleh kerajaan yang dipimpin oleh parti pemerintah bagi memastikan pentadbiran negara diteruskan dengan baik.

“Selepas pilihan raya (umum) lepas terdapat pertukaran (kerajaan) pusat dan negeri, ini dirasakan ganjil untuk beri khidmat kepada mereka dahulu terdiri daripada parti lawan ditentang oleh kerajaan kita. Kadang-kadang agak sukar untuk menukar kesetiaan kita daripada kerajaan dahulu kepada yang baharu.

“Oleh kerana kita terima sistem demokrasi dan sistem demokrasi kadang-kadang tukar kerajaan melalui pilihan raya maka kita perlu ingat bahawa anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat perlu membebaskan diri daripada parti yang memerintah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, barisan exco dan penjawat awam negeri ini.

Dr Mahathir berkata selain membebaskan diri daripada terikat dengan parti pemerintah dan berkecuali, penjawat awam pada masa ini juga perlu siapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran terkini bagi memastikan mereka sentiasa berdaya saing.

Beliau berkata ini penting kerana negara kini sedang menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi seperti Internet Pelbagai Benda, Big Data, integrasi sistem dan pengkomputeran awan yang akan secara langsung mengubah norma kerja.

“Lantaran itu, perkhidmatan awam tidak terkecuali dalam arus teknologi ini. Industri 4.0 akan menjadi pemangkin kepada Proses Transformasi Sistem Pentadbiran Kerajaan.

“Oleh itu, semua agensi kerajaan perlu bersama-sama memastikan bahawa penjawat awam tidak ketinggalan sebaliknya akan sentiasa up-to-date dengan kemahiran yang baharu melalui pelbagai inisiatif seperti upskilling and reskilling (tingkatkan tahap kemahiran dan latihan semula kemahiran) sebagaimana yang digariskan Dasar Kebangsaan Industri 4.0,” katanya.

Katanya beliau berharap penjawat awam semua sedar bahawa tugas yang dilakukan itu adalah sesuatu yang murni jika dilaksana dengan baik dan atas keyakinan itu ia perlu diteruskan dengan cemerlang yang seterusnya mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.- MalaysiaGazette