SHAH ALAM – Pemilik kedai emas yang membuka semula premis perniagaannya selepas cuti berhari raya selama seminggu terkejut apabila mendapati barang kemas bernilai jutaan ringgit hilang dipercayai disamun.

Kejadian berlaku di pusat komersial Seksyen 7 Shah Alam antara jam 2 pagi hingga jam 6 pagi Jumaat lalu.

Premis berkenaan ditutup pada 2 Jun lalu iaitu tiga hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri.

Pemilik perniagaan yang berusia 45 tahun itu hanya menyedari kedainya disamun pada jam 10 pagi tadi ketika membuka semula premis perniagaannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika datang membuka kedai, pemilik perniagaan itu mendapati pintu bilik setor dan bilik kebal yang dilengkapi dengan empat peti besi menyimpan barang kemas dipecah masuk,

Katanya, lebih dua penjenayah terlibat dengan memasuki pintu belakang premis.

Jelas beliau, menerusi saluran penyedut udara (wind blower) penjenayah terbabit memanjat siling untuk memasuki bilik kebal.

“Penjenayah kemudian menebuk bilik kebal dengan menggunakan alat penebuk besi sebelum melarikan barang kemas yang disimpan dalam empat peti besi khas.

“Maklumat awal polis belum dapat memastikan jumlah kerugian tetapi berdasarkan modus operandi mengesahkan penjenayah ini adalah profesional, berpengalaman dan samun secara berkumpulan dengan teliti mengelak dikesan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian pagi tadi.

Tambah beliau, penjenayah itu melarikan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang dipasang di premis kedai emas itu bagi mengelak identiti mereka dikenali.

“Polis juga menyiasat CCTV berdekatan premis ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelas beliau, pasukan forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah Shah Alam dan Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Selangor berada di lokasi dan sedang mengumpul bukti dan petunjuk.

Meenurutnya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta perdi ke balai polis atau IPD Shah Alam untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette