Penyanyi Veteran, Datuk A. Rahman Hassan (kanan).

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Khir Rahman memohon orang ramai agar mendoakan kesihatan bapanya, Datuk A. Rahman Hassan kembali pulih.

Khir, 46, berkata, bapanya pitam di sebuah stesen minyak di Ampang, Selangor malam tadi sebelum dikejarkan ke hospital dengan bantuan ambulans.

Jelasnya, bapanya yang juga penyanyi popular era 60-an kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

“Saya memohon jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk memanjatkan doa buat ayahanda saya, Datuk A. Rahman Hassan, yang kini berada di ICU, Hospital Ampang.

“Semalam, 10 Jun, sekitar jam 10 malam, beliau telah pitam di stesen minyak Petron Ampang sebelum diselamatkan oleh pihak ambulans.

“Beliau kini direhatkan (sedation) untuk rawatan dan pantauan lanjut pihak hospital.

“Buat masa ni pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

“Mohon yang terbaik buat Abah. Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat Abah jua. Terima kasih,” tulisnya di Instagram.

A. Rahman baru sahaja dibenarkan keluar wad sehari sebelum 1 Syawal selepas lima hari dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sesak nafas kronik disebabkan masalah jantung. – MalaysiaGazette