Bella Astillah.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Bella Astillah menjelaskan dia terpaksa bekerja walaupun masih dalam tempoh edah selama tiga bulan.

Pemilik nama penuh Dayang Nabellah Awang Astillah itu berkata, tugasnya perlu diteruskan demi menyara anaknya, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

“Kalau kamu boleh tanggung saya, susu dan lampin Ayden, tidak mengapa.

“Saya boleh duduk rumah berkabung tetapi kamu kena beri saya duit. Boleh begitu?” tulis di Instagram miliknya.

Bella yang juga penyanyi memberitahu, kehidupannya kini sebagai ibu tunggal bukan mudah kerana terpaksa menyara anaknya sendirian.

“Saya keluar cari rezeki semuanya untuk Ayden (anak Bella). Bukan sebab saya tidak pandai jaga idah. Ibu dan ayah saya masih ada menjaga.

“Saya bukan suka-suka tetapi untuk anak saya. Kalau saya tidak kerja, bukan kamu mahu tolong,” katanya yang tidak menyebut nama pihak yang mempersoalkan statusnya.

Mengulas lanjut, Bella juga berkata, kontrak yang ditandatangani bersama usahawan di Instagram membuatkan dirinya terpaksa juga bekerja mempromosi produk mereka.

“Jadi saya kena teruskan kerja. Tidak mungkin disebabkan kejadian itu (cerai) tiga bulan saya tidak boleh kerja.

“Saya sudah tandatangan kontrak dengan pemilik kedai di Instagram. Tidak adil kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi Bersama di Hari Raya diceraikan talak satu oleh Aliff Aziz selepas satu demi satu dakwaan kecurangan bekas suaminya itu terbongkar.

Pasangan tersebut berkahwin pada September 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata. – MalaysiaGazette