Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebenarnya berat hati untuk ‘melepaskan’ Ahmad Soffian Mohd Shariff yang sudah membuat keputusan meletakkan jawatan.

Ini kerana, setiausaha akhbarnya itu merupakan antara pegawai terbaik yang beliau ada.

Ahmad Soffian disifatkan sebagai kakitangan berdedikasi, rajin dan peka dengan keadaan semasa.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, Ahmad Soffian dipercayai mengambil tindakan terburu-buru itu selepas mendengar nasihat yang salah daripada beberapa pihak.

“YB (Zuraida) sendiri terkejut sebenarnya dan tidak sangka Ahmad Soffian akan bertindak meletak jawatan sebegitu.

“Jadi sudah tentulah berat untuknya lepas Ahmad Soffian,” kata sumber itu.

Apa yang menyedihkan Zuraida apabila Ahmad Soffian tidak sekalipun cuba berbincang dengan menteri itu, sebaliknya membuat keputusan sendiri.

“Jika boleh, beliau tidak mahu melepaskan Soffian tetapi apakan daya. YB hanya boleh mendoakan yang terbaik sahaja, dia sebenarnya sangat kasihan dengan nasib Ahmad Soffian,” kata sumber yang enggan dikenali itu.

Ahmad Soffian membuat kejutan pagi semalam apabila menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada media memaklumkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan.

Beliau adalah suami kepada Syazlin Mansor, peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu sebelum ini.

Bagaimanapun, Syazlin telah menarik diri daripada kes itu dua minggu lalu.

Sumber tidak menolak kemungkin ada sebab musabah di sebalik peletakan jawatan ini bagi mengelakkan sesuatu yang lebih ‘teruk’ berlaku.

“Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Kita doakan yang terbaik sahaja.

“Kita tidak pasti sejauh mana kebenarannya, ada pihak termasuk dari pembangkang cuba mempolitikkan isu ini sehingga menyebabkan peletakan jawatan Ahmad Soffian.

“Tidak apalah, mungkin ini yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette