Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

PUTRAJAYA – Sekretariat Suara Rakyat Malaysia mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat transaksi pemindahan sejumlah wang dalam dolar Amerika Syarikat yang meragukan ke dalam akaun peribadi milik seorang ahli politik negara ini.

Sebuah syarikat pembinaan infrastruktur dan kejuruteraan didakwa memindahkan wang tersebut ke akaun seorang menteri kanan Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan bank asing pada Disember 2017.

Pengerusinya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, beliau  menerima dokumen mengenai pindahan dana oleh sebuah syarikat pembinaan terkemuka negara berjumlah AS$741,440 ke dalam akaun menteri kanan itu menerusi Deutsche Bank pada 19 Disember 2017 daripada seorang individu.

“Saya rasa tidak masuk akal dan tidak ada sebab munasabah untuk syarikat gergasi itu memindahkan wang sebanyak itu.

“Sebelum ini saya membuat pendedahan di mana sebuah laman web bernama ‘Toyol of Selangor’ telah mendedahkan akaun yang dimiliki menteri berkenaan juga berhubung sebanyak RM300 juta yang berada di luar negara.

“Maknanya dokumen yang saya akan serahkan kepada SPRM hari ini berkemungkinan besar merupakan dokumen yang ada kaitan dengan pemindahan wang secara meragukan ke dalam akaun pemimpin berkenaan di luar negara.

“Laporan saya ini memberi peluang kepada Latheefa Koya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu membuktikan beliau tidak memilih kasih dan bersifat neutral menyiasat dan bertindak ke atas sesiapa sahaja termasuk yang datang dari kelompok politik beliau,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau hadir di Ibu Pejabat SPRM jam 1.45 petang untuk mengemukakan aduan beserta bukti terhadap dakwaan itu.

Tambah beliau, pihaknya mengharapkan satu siasatan dilakukan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya terhadap pemimpin berkenaan dan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Kata Lokman, satu laporan polis juga akan dibuat di bu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung penyebaran empat klip video berunsur lucah yang melibatkan hubungan intim pasangan sejenis yang turut dikaitkan dengan pemimpin kanan itu.

“Katanya salah seorang dalam video berkenaan macam mirip ahli politik..saya tidak tahu siapa tetapi laporan polis ini akan dibuat sebagai menyiasat siapa individu yang berlakon dalam video intim itu walaupun ia bukan lakonan sebenarnya.

“Saya juga mahu polis siasat juga kesahihan video itu selain bertindak tegas ke atas individu yang bertanggungjawab menyebarkan video lucah ini sewenang-wenangnya secara tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Individu tidak dikenali yang menggunakan nama Saddam Hussein difahamkan telah memasukkan nama nama pemimpin politik serta pengamal media ke dalam kumpulan whatsapp yang diwujudkan awal pagi tadi sebelum berkongsi dokumen akaun bank peribadi serta video lucah yang didakwa melibatkan pemimpin politik itu. – MalaysiaGazette