Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA- Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bermesyuarat buat kali ketiga hari ini sejak penubuhannya empat bulan lalu memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan pesawah di negara ini melalui pelbagai cara.

Ini termasuk meningkatkan pegangan kawasan penanaman padi serta menggunakan keadah baharu penanaman padi dan pembajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji kaedah untuk meningkatkan produktiviti padi di Malaysia sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah dan memastikan bekalan makanan (food security) di negara ini terjamin.

“Apa yang kita dapat lihat adalah para pesawah di negara ini memiliki tanah yang kecil dan menyukarkan mereka untuk mendapat pulangan pendapatan yang baik selain itu mereka juga tidak menggunakan tanah-tanah yang ada secara efisyen.

“Contohnya, mereka boleh menghasilkan lapan tan padi tetapi mereka hanya mengeluarkan empat tan sahaja.

“Dengan itu kerajaan perlu meningkatkan kaedah penanaman dan cara mereka menggunakan baja.

“Selama ini kerajaan terpaksa memberi subsidi yang terlalu banyak kepada pesawah iaitu kira-kira RM1.8 bilion setahun untuk 200,000 penanam padi. Ia sangat membebankan,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EAC di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif EAC, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Jelas Perdana Menteri, para penanam padi juga tidak lagi boleh diarahkan untuk menanam padi sahaja sebaliknya perlu digalakkan untuk menanam tanaman lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Di Kedah menurutnya, para pesawah telah mula beralih kepada penanaman mangga harum manis, tembikai dan sayur-sayuran sebagai pendapatan tambahan.

Tambahnya, kerajaan juga berhasrat untuk mengurangkan import makanan kepada RM30 bilion pada masa hadapan.

Ketika ini Malaysia mengimport RM60 bilion makanan setahun.

Selain nasib pesawah padi, mesyuarat EAC hari ini juga menurut Dr. Mahathir memberi fokus untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan urusan menjalankan perniagaan.

Jelasnya, kesesuaian peraturan urusniaga akan disemak semula berdasarkan keperluan semasa bagi memudahkan para peniaga.

Para pemain industri akan diminta untuk memberikan pendapat semasa proses semakan tersebut, katanya.

“Saya dimaklumkan kadang-kadang sesebuah syarikat tersebut perlu bertemu dengan 30 agensi sebelum mendapat kelulusan untuk melakukan perniagaan atau melabur.

“Ini akan menyebabkan syarikat dan pelabur tidak berminat untuk menjalankan perniagaan di negara kita kerana akan menyebabkan mereka menanggung kos yang tinggi.

“Jadi, Ketua Setiausaha Negara telah ditugaskan untuk memastikan kerenah birokrasi ini dapat dikurangkan.

“Jika sesebuah jabatan itu perlu menandatangani sesuatu dokumen, mereka mungkin boleh tandatangan sahaja tanpa menunggu jabatan lain terlebih dahulu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, EAC dalam satu kenyataan medianya berkata, penambahbaikan dalam menjalankan perniagaan itu bakal memberi penekanan kepada sektor pelancongan.

Ini bagi merangsang ekonomi domestik dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil tukaran mata wang asing.- MalaysiaGazette