KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia tumbuh sebanyak 6.8 peratus pada April 2019 dengan merekodkan RM69.9 bilion berbanding RM65.5 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tahun ke tahun yang direkodkan bagi nilai jualan pada bulan April 2019 adalah didorong oleh kenaikan dalam produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (7.5%), produk peralatan elektrik dan elektronik (6.7%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.8%).

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan April 2019 adalah seramai 1,087,774 orang, meningkat sebanyak 1.7 peratus atau 18,364 orang berbanding 1,069,410 orang pada April 2018.

Manakala gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM3,995.3 juta, naik sebanyak 4.4 peratus atau RM169.5 juta pada April 2019 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan, Datuk Uzir Mahidin.

Nilai jualan per pekerja meningkat 5.0 peratus kepada RM64,300 berbanding bulan yang sama tahun 2018, sementara purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,673 pada bulan April 2019.

Menurutnya, nilai jualan sektor pembuatan pada tempoh Januari hingga April 2019 merekodkan pertumbuhan 6.2 peratus kepada RM280.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2018.

Bilangan pekerja pada tempoh tersebut meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 1,087,774 orang manakala gaji dan upah dibayar mencatatkan peningkatan 6.4 peratus kepada RM16.2 bilion.

Tambahnya, nilai jualan per pekerja pada tempoh rujukan meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM257,912. – MalaysiaGazette