Datuk Liew Vui Keong
Liew Vui Keong

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengemukakan pindaan pada sesi Parlimen akan datang untuk menurunkan kuasa kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Untuk Pelantikan Awam Utama.

Dewan Rakyat akan bersidang semula mulai 1 Julai selama 12 hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, sesi Parlimen itu bagaimanapun tidak akan berbahas tentang pindaan yang membolehkan jawatankuasa tersebut menerima peranan untuk melantik jawatan-jawatan penting tertentu dalam kerajaan.

Katanya, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji soal pelantikan secara teliti.

Vui Keong berkata lagi, beliau hanya akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri sekiranya keputusan dicapai untuk mengubah sistem pelantikan sedia ada.

“Selepas mendapat kelulusan Kabinet, barulah pindaan berkenaan akan dibawa ke peringkat Parlimen,” katanya kepada Sinchew Daily.

Berkenaan kontroversi yang wujud berhubung pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Vui Keong menegaskan pelantikan itu menuruti semua prosedur undang-undang.

“Kami telah mematuhi undang-undang sedia ada. Pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan cadangan Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai pelbagai suara berlainan tentang pelantikan itu termasuk pertikaian terhadap azam reformasi Pakatan Harapan, Vui Keong berkata, beliau akan mengumpulkan semua pandangan.

“Seperti yang kita tahu, penurunan kuasa kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen Untuk Pelantikan Awam Utama memerlukan kelulusan Kabinet dahulu.

“Saya pula perlu mengumpul pandangan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum memanjangkan perkara ini ke Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette