Reaksi Peguam, Syazlin Mansor ketika bercakap dalam sidang media mengenai akan kembali mewakili anggota keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues berkaitan punca kematian allahyarham di Majlis Perundingan Melayu di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Peguam Syazlin Mansor melahirkan rasa hairan mengapa Peguam Negara mempersoalkan ‘tugasnya’ dalam inkues siasatan punca kematian Muhammad Adib Mod Kassim selepas beberapa bulan prosiding itu dimulakan.

Beliau berkata alasan yang dikemukakan oleh Tommy Thomas bahawa beliau tidak membantu siasatan inkues apabila sering bercanggah dengan pendakwa (pegawai pengendali inkues) juga tidak boleh diterima.

Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamatan serta keluarga Adib secara pro bono (tanpa bayaran) berkata, selepas akur kepada arahan menarik diri daripada inkues beliau telah bertanya kepada Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni yang juga Timbalan Pendakwa Raya kes tersebut.

“Pada 27 Mei iaitu tarikh saya menarik diri, saya ada bertanya kepada Faten. Mengapa baru sekarang peguam negara mempersoalkan pelantikan saya. Bukankah dari awal lagi peguam negara maklum saya mewakili mereka.

“Beliau berkata memang benar Peguam Negara maklum tentang peranan saya dari awal , tetapi beliau tidak membuat sebarang bantahan kerana berpendapat saya akan bantu inkues dan bertindak secara bona fide (niat baik).

“Saya kemudian mempersoalkan bila masa pula peguam negara berpendapat saya tidak membantu inkues dan bertindak secara mala fide (berniat jahat)?

“Beliau menjawab, apabila saya bercanggah dengan kedudukan yang diambil pegawai pengendali inkues dan mempersoalkan teori pakar HKL,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yanh dihadiri Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Syazlin berkata, apa yang diperkatakan dalam sidang hari ini boleh disahkan oleh peguam-peguam yang mewakili peguam Allahyarham Adib yang hadir pada tarikh itu kerana mereka mendengar sendiri soalan-soalan dan jawapan Faten.

“Saya berharap kenyataan saya ini akan menjawab persoalan dan kekeliruan yang sedang tular di kalangan masyarakat.

“Saya juga ingin tegaskan akan terus mewakili keluarga arwah Adib dalam prosiding inkues ini,” katanya.

Sebelum ini, Tommy dalam satu kenyataan berkata, Syazlin memalukan dirinya sebagai peguam KPKT kerana sering mengambil pendirian bercanggah dengan timbalan pendakwa.

Tommy berkata, Syazlin sepatutnya menolak pelantikan KPKT dan bomba kerana peguam tersebut turut mewakili keluarga Adib“yang mempunyai kepentingan secara langsung dalam inkues itu.

Bagaimanapun, Syazlin boleh terus mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.