Kumpulan NGO yang disertai Siti Zailah menamatkan misi membantu masyarakat Orang Asli di Felda Aring 10.
Kumpulan NGO yang disertai Siti Zailah menamatkan misi membantu masyarakat Orang Asli di Felda Aring 10.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan sukarelawan yang turut disertai Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dilarang memasuki ke penempatan masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh.

Kumpulan itu yang melibatkan beberapa NGO dan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh membawa bersama kira-kira 300 bungkus bekalan makanan dan barangan keperluan untuk kegunaan masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, menurut Penyelia DUN Paloh, Azman Ahmad, terdapat sekumpulan pasukan keselamatan membuat sekatan di Felda Aring 10, melarang sesiapa sahaja memasuki ke penempatan itu atas alasan dibimbangi terkena penyakit berjangkit.

Katanya, pasukan keselamatan itu yang terdiri daripada polis, Jabatan Alam Sekitar, Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am dan pelbagai agensi kerajaan berkampung di Felda Aring 10 sejak berita kematian 14 masyarakat Orang Asli tersebar.

“Pihak berkuasa bimbang ada jangkitan apabila ramai orang awam masuk ke penempatan Orang Asli di Kuala Koh.

“Mereka sendiri akan membawa bekalan makanan dan barang keperluan itu ke penempatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sekatan itu dibuat kira-kira 10 kilometer dari perkampungan masyarakat Orang Asli kaum Batek yang tular berita kematian lebih 10 Orang Asli dipercayai akibat meminum air tercemar dari aktiviti perlombongan.

MalaysiaGazette juga difahamkan, bekalan air bersih yang dihantar oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semalam tidak dibenarkan masuk.

Air yang dibawa dengan lori AKSB itu dibawa masuk oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang turut terlibat menjaga sekatan di Felda Aring 10.

Terdapat kira-kira 100 anggota dan pegawai daripada agensi kerajaan terbabit di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette