Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat penting petang ini di Tropiciana, Petaling Jaya.

Mesyuarat itu dijangka dipengerusikan oleh presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, erkemungkinan akan membincangkan isu penyebaran video lucah luar tabii mengaitkan seorang menteri kerajaan PH dari parti tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan mesyuarat itu akan bermula pukul 5 petang ini.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga dijangka hadir dalam mesyuarat itu.

Semalam, Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam sidang media berkata, beliau tidak maklum mengenai video mengaitkan salah seorang menteri kabinetnya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan pagi tadi menegaskan PKR menolak sekeras-kerasnya permainan politik kotor yang tidak memberi sebarang keuntungan kepada kerajaan Pakatan Harapan yang sedang menerajui tampuk pemerintahan negara sekarang ini.

Beliau turut menggesa semua pihak supaya segera menghentikan penularan video intim kepada umum yang dikatakan melibatkan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

“Gaya dan cara berpolitik seperti ini tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat dan negara,” tegasnya lagi.

Zuraida Kamaruddin selaku Naib Presiden parti itu pula mahu sebarang konspirasi politik bagi membunuh karakter pemimpin perlu dihentikan serta merta.

Semalam tersebar beberapa keping gambar dan video yang memaparkan hubungan intim mirip seorang menteri kabinet yang juga pemimpin PKR tular dalam kumpulan WhatsApp kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik.

Susulan penularan itu, Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam membuat satu laporan polis di IPD Putrajaya meminta  polis menyiasat kesahihan video lucah itu.

Beliau mahu penyebar video berkenaan ditangkap dan diambil tindakan tegas.

Satu laporan polis berkaitan video sama turut direkodkan di Ibu Pejabat Polis Kajang, bagaimanapun polis enggan menggulas lanjut kepada wartawan.

Terbaharu awal pagi tadi, seorang individu yang dikaitkan dalam video itu pula membuat pengakuan bersumpah bahawa beliaulah orang yang bersama dengan lelaki yang mirip seorang menteri Kabinet.

Individu berkenaan, Haziq Abdul Aziz merupakan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.- MalaysiaGazette