Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar meminta hentikan permainan politik lucah dan fitnah yang memual dan menjengkelkan demi generasi masa depan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kesan negatif fitnah kotor tidak boleh sama sekali dipandang remeh kerana ia memberi impak mendalam kepada semua yang terlibat terutama terhadap keluarga mangsa.

Beliau menyifatkan berita penyebaran gambar dan video yang mirip seorang menteri menyedihkan buat Malaysia sekali lagi.

Tegasnya, cara berpolitik masyarakat bertamadun adalah mengangkat wacana, idea, polisi dan dasar, bukan serangan peribadi dan pembunuhan karakter.

“Hari ini hari yang menyedihkan buat Malaysia apabila kita sekali lagi digemparkan dengan budaya politik kotor lagi keji.

“Sebaliknya, berita yang seharusnya diutamakan adalah berkait isu serta usaha penting dalam menangani masalah rakyat dan masyarakat.

Liputan media terhadap serangan peribadi dan fitnah tidak mempunyai objektif lain, selain mencemar nama dan karakter individu, mengakhiri kerjaya politik, menjatuhkan maruah dan reputasi mangsa.

“Dengan sebab itu, saya berasa penuh empati dan simpati kepada mereka yang dimangsakan dengan politik keji sebegini. Saya berharap pihak yang terlibat terus bersabar.

“Tanggungjawab kita bersama menjauhkan diri daripada terjebak budaya politik fitnah yang amat menjengkelkan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menyeru supaya fokus kepada usaha membina Malaysia yang lebih baik diberikan.- MalaysiaGazette