Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan penyewelengan RM42 juta masuk hari ke-23 akan terus menyambung sesi soal balas dengan saksi ke-39, juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut.

Tan Sri Ismee Ismail, 54, semalam mendedahkan sepanjang tempoh beliau bersama syarikat itu, tidak pernah ada mesyuarat antara lembaga pengarah dan Datuk Seri Najib Razak selaku Penasihat Emeritus SRC, tetapi semuanya menerusi bekas ketua pegawai eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.

Nik Faisal disifatkan oleh Ismee sebagai orang tengah antara syarikat tersebut dengan Najib.

Bagaimanapun ketika diasak oleh peguam bela, Harvindejit Singh, Ismee memberitahu kepada satu soalan sama ada Nik Faisal satu-satunya orang yang ada hubungan dengan Najib sebagai penasihat emiritus, saksi itu berkata, ‘Tidak’.

Ketika perbicaraan sebelah pagi semalam, Ismee mendedakan mahkamah Najib yang juga menteri kewangan pada masa itu dan ketua Menteri Kewangan Diperbadankan, telah dilantik sebagai penasihat emeritus SRC International.

Beliau juga memberitahu mahkamah Najib merupakan pemegang kepentingan dalam SRC atas kedudukannya sebagai menteri kewangan memandangkan syarikat itu dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International ketika masih bergelar perdana menteri.

Perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung sebentar lagi. –MalaysiaGazette