Ahmad Soffian Mohd Shariff bercakap dalam sidang media bersama Persatuan Peguam-Peguam Muslim di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Akhbar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ahmad Soffian Mohd. Shariff mengakui beliau hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

Sambil menyifatkan Zuraida Kamaruddin sebagai majikan yang baik dan komited membantu rakyat, beliau memberitahu antara sebab peletakan jawatannya ada kaitan dengan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Beliau menegaskan antara faktor lain yang menyebabkan dia hilang kepercayaan kerana banyak janji dalam manisfesto Pilihan Raya Umum ke-14 tidak dipenuhi.

“Bohonglah kalau faktor saya letak jawatan tidak ada kaitan dengan kes arwah Adib.

“Cuma apa yang ingin katakan saya sudah hilang kepercayaan dengan kerajaan PH dan punca-puncanya saya akan dedahkan dari masa ke semasa mewakili suara rakyat.

“Bagi saya, Zuraida seorang pemimpin yang baik dan saya tidak sanggup berdepan dengannya untuk menghantar surat letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bersama Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang dihadiri Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Pada 10 Jun lalu, Ahmad Soffian pada pagi ini menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada pihak media memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan hari ini.

Beliau ialah suami kepada peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor yang menarik diri dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu pada 27 Mei lalu.

Syazlin turut hadir pada sidang media tersebut. – MalaysiaGazette