Peguam, Syazlin Mansor.

KUALA LUMPUR – Peguam yang menarik diri dalam inkues siasatan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, Syazlin Mansor terkilan dengan sikap Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengheret suaminya, Ahmad Soffian Mohd. Shariff dalam kes tersebut.

Syazlin percaya tindakan Tommy itu berniat jahat untuk memburukkan nama baiknya dan Ahmad Soffian yang juga Setiausaha Akhbar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Peguam Negara itu apabila mengaitkan jawatan yang dipegang suaminya itu.

“Adakah salah bagi saya seorang peguam ingin membantu keluarga arwah Adib dan bomba secara Pro Bono (tanpa bayaran)?

“Ingin saya tekankan saya merupakan peguam kes jenayah dan firma guaman saya hanya mengambil kes-kes jenayah sahaja.

“Saya amat terkilan apabila Peguam Negara mengheret nama suami saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas anjuran Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang dihadiri Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Pada 10 Jun lalu, Ahmad Soffian telah menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada pihak media memaklumkan bahawa beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan.

Ahmad Soffian membuat keputusan itu selepas Syazlin yang menarik diri dalam prosiding inkues kematian anggota bomba itu pada 27 Mei lalu.
– MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.