Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – UMNO hari ini tampil menafikan bahawa parti itu terlibat dengan penyebaran penularan video intim yang dikatakan melibatkan seorang lelaki mirip menteri Kabinet.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, UMNO adalah gerakan amal bakti yang dipimpin oleh kematangan dan profesionalisme.

Malah katanya, tuduhan bahawa parti itu adalah dalang isu berkenaan juga tidak tepat.

“UMNO tidak akan terlibat dengan perkara yang mengaibkan mana-mana pihak dan tidak akan menjadi parti atau gerakan sosial yang menerima perkara sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, individu bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa beliaulah orang yang terlibat dalam perbuatan sumbang itu.

Setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin turut mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

“Saya menyeru dan menganjurkan supaya semua pemimpin, ahli dan pendukung UMNO, untuk tidak terlibat. Apatah lagi mengambil kesempatan dan melakukan perkara yang hanya memburukkan keadaan.

“Marilah kita doakan agar sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh mana-mana pihak akan berakhir dengan cara yang terbaik untuk semua. UMNO akan memfokuskan masa dan tenaganya untuk terus menyantuni masyarakat dan membawa kepimpinan kepada bangsa ini.

“Kegagalan kita untuk berbakti dan menjalankan amanah rakyat adalah jauh lebih mengaibkan dari sebarang skandal yang sarat dengan ketidakpastian,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi.

Semalam tular video serta gambar yang memaparkan hubungan intim mirip seorang menteri Kabinet yang juga pemimpin PKR dalam kumpulan Whatsapp kepada beberapa wartawan dan anggota parti politik. -MalaysiaGazette