Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata lori tersebut yang dipandu bapa kanak-kanak itu cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Selamat 15 di Jalan Sultan Nazrin Shah menghala ke bandar raya, kira-kira pukul 4.30 petang.

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun terselamat selepas terjatuh dari sebuah lori yang dikejar polis di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata lori tersebut yang dipandu bapa kanak-kanak itu cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya Ops Selamat 15 di Jalan Sultan Nazrin Shah menghala ke bandar raya, kira-kira pukul 4.30 petang.

Beliau berkata semasa sekatan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Ipoh itu, sebuah lori jenis Daihatsu tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ dan cuba melarikan diri.

“Dua anggota trafik yang bertugas mengejar dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan, tetapi enggan dan terus memandu secara laju serta merbahaya.

“Semasa proses mengejar, seorang kanak-kanak terjatuh dari lori. Pemandu memberhentikan kenderaan dan melarikan diri ke dalam sebuah restoran di Taman Soon Choon,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ali, semasa proses menangkap telah berlaku berlaku pergelutan dan pemandu berkenaan cuba merampas senjata api anggota polis sebelum berjaya dtangkap atas bantuan orang awam.

“Proses menangkap ini telah dirakam dan ditularkan oleh orang awam,” katanya.

Mohd Ali berkata suspek lelaki itu yang berumur 37 tahun dari Tanjung Tualang mempunyai enam rekod kesalahan lampau termasuk mencuri kenderaan dan berkaitan dadah.

Tambahnya suspek juga memiliki satu waran tangkap trafik dan tangkapan kali ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987; Seksyen 186 Kanun Keseksaan; Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) APJ 1987.

Mengenai kanak-kanak perempuan itu, Mohd Ali berkata dia hanya mengalami luka ringan dan telah dihantar balik ke rumahnya di Gopeng oleh anggota polis.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.