Syed Badli Syed Osman

KUALA LUMPUR – Pendedahan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Blisson Zainuddin bahawa Haziq Abdul Aziz didakwa rapat dengan Rafizi Ramli semasa pemilihan PKR tahun lalu adalah berniat jahat.

Dalam satu kenyataan, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata, dakwaan itu cuba memberikan gambaran Rafizi terlibat secara langsung dalam penyebaran empat video intim mirip Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kenyataan yang dibuat dalam satu sidang media ternyata berniat jahat dan sengaja ingin memecahbelahkan perpaduan dalaman PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badli berkata beliau curiga dengan tindakan Blisson
berkaitan isu itu kerana pada 12 Jun lalu Blisson sendiri telah menghantar pesanan ringkas kepadanya melalui aplikasi Whatsapp dan antaranya perbualan mereka ialah;

“Hari tu saya sama Haziq bah”
“Dia memang mau kasih Azmin tu”
“Habis la Azmin ini”
“Ni kali laa” kata pesanan berkenaan.

Dalam perbualan ringkas tersebut Badli juga mendakwa Blisson juga mengakui yang beliau tidak menyokong Mohamed Azmin lagi.

“Saya sendiri tidak jelas apakah niat Blisson yang secara tiba-tiba memulakan perbualan menerusi Whatsapp berkaitan isu ini kerana saya langsung tidak berminat untuk melayan isu politik lucah dan fitnah.

“Justeru itu timbul persoalan apakah niat sebenar beliau apabila 2 hari yang lalu beliau tidak menyokong Azmin dan harini beliau tampil dengan membuat dakwaan mengaitkan individu lain dalam kes ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Haziq desak saya beritahu jadual Azmin di Sandakan