Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-25 dengan saksi ke-39, Tan Sri Ismee Ismail akan sambung keterangan dalam sesi soal balas dengan barisan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, perbicaraan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta yang mengaitkan Najib itu terpaksa dipendekkan kerana pihak pembelaan mahu menyemak rakaman transkrip bekas Pengerusi SRC, Ismee untuk memastikan ada atau tidak, percanggahan dalam keterangannya.

Ini berlaku selepas Ismee memberi keterangan bahawa lembaga pengarah SRC International akan mengikut resolusi para pemegang saham syarikat.

Tetapi dalam kenyataan bertulisnya saksi itu menyebut lembaga pengarah mengikut nasihat Najib, selaku Penasihat Emeritus SRC.

Oleh itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan meminta prosiding petang hari ini ditangguhkan ke pagi esok, sementara menunggu mereka mendapatkan transkrip rakaman mahkamah (CRT) Ismee.

Ismee juga dalam keterangannya mendedahkan beliau tidak cuba untuk berjumpa Najib berhubung keraguan dalam status pengauditan akaun SRC International Sdn Bhd kerana beliau perlu menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

Keterangan itu diberikan selepas peguam bela, Harvinderjit Singh melontarkan persoalan adakah beliau perlu bertemu dengan Najib bagi melaporkan keraguan yang dihadapi berhubung status pengauditan.

Keterangan bersambung hari ini berhadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9.15 pagi dengan Harvinderjit melakukan pemeriksaan balas.

Najib seperti biasa tiba tepat 8.50 pagi dengan ditemani oleh beberapa orang, sempat melambaikan tangan kepada jurugambar ketika hendak menaiki lif ke tingkat 5 sebelum bermulanya prosiding.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan dan bekas Presiden Barisan Nasional (BN) berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/13/akaun-tak-diaudit-ismee-mengaku-tak-maklum-najib/