Anthony Loke Siew Fook. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2019
Anthony Loke

PUTRAJAYA – Seramai 367 penyedia perkhidmatan teksi dalam aplikasi e-hailing berstatus Orang Kelainan Upaya akan menikmati keistimewaan menjalani latihan dan ujian lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma bulan depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengaturkan pemeriksaan kesihatan, latihan dan ujian lesen PSV di mana kesemua kos ditanggung oleh penganjur.

Katanya, proses pemeriksaan kesihatan akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat ini dan akan dimaklumkan kepada 22 syarikat syarikat operator e-hailing (EHO) yang mendapat kelulusan Lesen Perkhidmatan Perantaraan (LPP) pemandu OKU.

“Seterusnya latihan PSV menerusi digital dan dalam talian selama enam jam berdasarkan modul latihan yang ditetapkan JPJ perlu dijalani oleh pemandu OKU pada bila-bila masa dan di mana mana EHO tanpa menghadirkan diri ke Pusat Latihan Menandu.

“Mereka ada dua minggu dari sekarang untuk mendaftarkan diri dengan EHO bagi menduduki latihan dan ujian Lesen PSV dan perlu menamatkan latihan dalam talian sebeljum 20 Jun ini.

Manakala ujian bertulis secara berkelompok akan dilaksanakan oleh JPJ di Dewan Serbaguna kementerian di Putrajaya pada 1 dan 2 Julai ini.

“Mereka yang berjaya akan dimaklumkan keputusan ujian dan dikeluarkan kad lesen PSV selepas lima hari ujian dilaksanakan. Kad PSV yang siap akan diedarkan kepada EHO untuk diedarkan kepada pemandu OKU mereka yang berjaya,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat beliau di sini.

Ketika ini katanya, pemandu OKU didaftarkan dalam tujuh kategoi manakala pemandu cacat pendengaran adalah berjumlah 273 orang, cacat fizikal (80 pemandu),cacat penglihatan dan pendengaran (6 orang), cacat penglihatan 4 orang, dua pemandu dengan pelbagai kekurangan, dan masalah pembelajaran dan masalah polio masing masing seorang.

Empat EHO berdaftar OKU adalah Grab mempunyai 312 pemandu OKU, MYcar (62), DACSEE (37) dan EZCAB (10 pemandu OKU) dengan ada pemandu OKU yang berdaftar melebihi dua syarikat e-hailing.

Ditanya sama ada penganjur akan menyediakan perlindungan insurans, Ahli Parlimen Seremban itu bagaimanapun berkata itu tangungjawab syarikat EHO untuk menyediakannya.

“Kita hanya mahu mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan JPJ yang mana kami menyediakan segala bantuan kepada pemandu OKU perkhidmatan e-hailing tanpa harapkan satu sen pun daripada mereka.

“Kita buat ini untuk mengalihkan mereka kepada sistem e-hailing secara tetap dan kami berpegang pendirian mereka (OKU) juga wajar diberi peluang meneruskan punca pencarian mereka secara tetap tanpa masalah.

“Kami juga bersedia membantu pemandu OKU yang berhasrat untuk mendapatkan PSV tetapi akan melihat dulu keperluan dan kesesuaian terlebih dahulu,” ujarnya.

Dalam satu lagi perkembangan, Anthony Loke turut mengulas mengenai hasrat pemandu teksi yang mahu berhimpuna memprotes secara besar-besaran terhadap kementeriannya kerana keengganan mendengar permasalahan mereka.

“Negara ini amalkan demoktrasi berperlembagaan dan kita hormati hak mereka kerana ini bukan kali pertama atau kerakhir mereka membuat demonstrasi dan mereka berhak menyuarakan pendapat, mereka boleh melakukan apa yang merasakan adil untuk mereka,” katanya ketika ditanya pemberita di sini.- MalaysiaGazette.