Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik bergambar kenangan bersama peserta-peserta ketika hadir pada Majlis Perasmiann MOE-Intel Elite Intership Programme di Dewan Jamuan Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 14 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Hasrat wartawan untuk mendapatkan reaksi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung isu pelajar Orang Asli Kaum Batek yang tercicir pelajaran di Gua Musang, Kelantan tidak kesampaian apabila beliau tiba-tiba menghilangkan diri.

Tindakan melarikan diri itu dilihat tidak profesional apabila banyak lagi isu yang ingin dikemukakan oleh media, antaranya isu 45,000 pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah juga tidak mahu dijawab.

“Makanlah dulu,” katanya kepada media selepas melancarkan program latihan praktikal elit antara Kementerian Pendidikan dan Intel.

Akur dengan kenyataan itu, para media pun bertindak kembali ke meja masing-masing untuk menunggu Maszlee.

Tidak sampai lima minit, media dimaklumkan beliau telah  meninggalkan majlis.

Perkara ini bukan kejadian pertama berlaku kerana pernah berlaku ketika menunggu kenyataan daripada menteri itu berhubung beberapa isu panas melibatkan kementeriannya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika itu, para wartawan ingin mendapatkan penjelasan lanjut berhubung yuran pengajian Universiti Malaya (UM). -MalaysiaGazette