Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Hatta Md Ramli bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Pusat Latihan Usahawan dan Restoran Tasnim Gangjingene di KL Traders Square, Jalan Gombak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, pihaknya kini dalam fasa akhir bagi menyiapkan dasar tersebut.

Jelas beliau, pelaksanaan DKN merupakan julung kalinya Malaysia mempunyai suatu dasar khas, spesifik dan khusus mengenai sektor keusahawanan.

“Ianya perlu dan wajar dibangunkan sedemikian kerana impian kita dan kerajaan untuk merealisasi Malaysia sebagai Negara Keusahawanan dalam dekad akan datang ini.

“Untuk itu, aspek latihan dan pendidikan keusahawanan ini antara teras strategik yang akan kami berikan fokus dan tumpuan yang khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Pusat Latihan Keusahawanan dan Restoran Tasnim Gangjunge di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Hatta memuji kerjasama baik antara pemilik restoran itu iaitu Tasnim Food Industries dengan rakan kongsi dari luar negara yang dianggap positif dan membanggakan.

Menurutnya, kedua pihak boleh menggunakan kekuatan masing-masing untuk masa hadapan syarikat yang lebih baik.

“Hubungan baik Malaysia dan Republik Korea dalam pelbagai industri dan bidang boleh diterjemah juga dalam industri makanan misalnya yang menjanjikan potensi yang luar biasa.

“Industri makanan halal adalah satu ‘lubuk ekonomi’ yang boleh kita sama-sama bangunkan dan nikmati hasilnya.

“Mungkin kalangan pelabur dari Korea yang ada di sini, boleh berkongsi apa lagi yang boleh diusahakan untuk merebut peluang yang lebih memberikan keuntungan jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette