Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke-39, Tan Sri Ismee Ismail yang sebelum ini begitu konsisten ketika memberikan keterangan dan jawapan balas hari ini kelihatan sedikit terganggu dan beberapa kali meminta peguam mengulangi soalan yang dikemukakan.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd itu bukan sahaja meminta peguam Harvinderjit Singh mengulangi kembali soalan sebaliknya turut memintanya bertanya dalam ayat yang mudah.

Ismee juga lebih banyak jmemberikan jawapan ‘tidak tahu’ dan ‘tidak ingat’ pada hari ke-25 perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram juga bangkit mencelah ketika sesi soal balas dan menegur Harvinderjit supaya tidak terlalu pantas dalam bertanya soalan sebaliknya membenarkan saksi untuk memahami pertanyannya.

“Biar saksi fahamkan soalan dan benarkan beliau menjawab terlebih dahulu,” katanya.

Harvinderjit kemudian menyambung soalannya tentang bagaimana proses membuat keputusan oleh Lembaga Pengarah SRC International pada masa itu.

Barisan peguam bela Najib yang diketuai oleh Tan Sri Shafee Abdullah berpendapat keterangan Ismee bercanggah daripada yang terdahulu sehingga terpaksa mengasak kembali soalan-soalan kepadanya. –MalaysiaGazette