KUALA LUMPUR – Ringgit naik berbanding dolar US pada pagi Jumaat berikutan peningkatan permintaan terhadap mata wang tempatan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global dan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang belum diselesaikan, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.1630/1680 berbanding dolar US daripada 4.1650/1680 semasa ditutup pada Khamis.

Penyelidikan MIDF dalam satu nota berkata, serangan oleh pihak yang tidak diketahui ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman dan Selat Hormuz telah meletakkan rantau Teluk Arab/Parsi yang mengeluarkan banyak bekalan minyak dunia dalam keadaan tertekan.

“Sementara itu, Walmart Inc, Target Corp dan lebih 600 syarikat lain menggesa Presiden AS Donald Trump dalam surat pada Khamis untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan dengan China, menyatakan tarif telah menjejaskan perniagaan dan pengguna Amerika,” katanya.

Semasa urus niaga dibuka, ringgit, bagaimanapun, didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0495 daripada 3.0477/0504 semasa ditutup pada Khamis, menyusut berbanding yen kepada 3.8422/8471 daripada 3.8401/8440 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.6938/7011 daripada 4.7006/7061.

Berbanding pound, unit tempatan tidak berubah pada 5.2766/2834 kepada 5.2766/2825 semasa ditutup pada Khamis. – MalaysiaGazette