Datuk Seri S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan menghantar pulang Dr. Zakir Naik kerana bimbang keselamatan pendakwah Islam itu tidak mendapat pengadilan ditegur.

Bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, Mahathir  terlalu cepat menilai dan membuat keputusan kononnya pendakwah itu tidak akan mendapat satu keadilan sebaliknya di India juga ada penyokong yang akan membela Zakir.

Bekas Menteri Kesihatan itu melahirkan rasa kurang senang dengan pendirian Mahathir yang padanya sangat ‘merbahaya’ kerana tuduhan melulu tentang sistem keadilan sebuah negara luar.

“Hakikatnya sama ada Malaysia mahu ekstradisi Zakir Naik kembali ke India pada masa ini sudah menjadi perdebatan dengan pelbagai reaksi dan pandangan dalam kalangan pelbagai kaum serta latar belakang.

“Mengapa kita pula mahu menjadi jaguh dalam menghakimi sistem perundangan negara lain dengan tanggapan kita sendiri? Tanggapan yang sebenarnya lebih kepada keselesaan kita selain daripada pilihan politik?

“Bagaimana sekiranya negara luar juga bersikap demkian terhadap sistem perundangan kita? Adakah kita terimanya? Jangan terlalu cepat terburu-buru seperti ini yang akhirnya merugikan negara kita sendiri,” katanya dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini Mahathir dalam satu program di Melaka dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak akan diberikan keadilan sewajarnya.

Malah pendirian Perdana Menteri mendapat sokongan daripada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang turut beranggapan tindakan Perdana Menteri membuktikan sikapnya yang tidak tunduk kepada penindasan di India.

Jelas Subramaniam lagi,  Mahathir tidak perlu risau kerana di India sendiri yang populasinya ketiga terbesar di dunia selepas Pakistan dan Indonesia dengan sekurang-kurangnya 200 juta orang itu pastinya mempunyai penyokong Zakir.

“Adakah anda fikir rata-rata mereka ini akan berdiam dan membiarkan pendakwah ini dizalimi? Janglah kita membuat keputusan terburu-buru selain bijak menghakimi sistem perundangan negara luar,” tegasnya.

Sebelum PRU-14, pembangkang yang kini adalah kerajaan ada segelintirnya telah menggunakan isu ini untuk meraih undi khasnya dalam kalangan bukan Melayu dan Islam lagi-lagi adanya menggunakan peluang itu mendakwa Zakir telah menghina agama termasuk Hindu.

Zakir yang didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram meninggalkan India pada tahun 2016.

Kerajaan India telah membatalkan pasport beliau setelah banyak kali mengabaikan permintaan supaya hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED) akan mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar mahkamah khas di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, Mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir ketika pendengaran seterusnya dijadual pada 19 Jun ini.

ED kemudian akan memohon notis merah Interpol terhadap pendakwah itu serta ekstradisi oleh Malaysia selepas mendapat waran berkenaan –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here