Mohamed Azmin bakal menjadi saingan sengit Anwar pada masa akan datang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Ser Mohamed Azmin Ali.

MELAKA – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu didesak untuk bercuti daripada menjalankan tugas dalam parti dan kerajaan, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata desakan itu tidak akan memberi kesan positif kepada kepempinan parti dan negara, sebaliknya tindakan itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tidak bersetuju untuk mendesak Mohamed Azmin berehat sebagaimana diminta oleh pihak tertentu termasuk Otai Reformasi, bahkan perkara itu juga tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR.

“Kita sebenarnya tidak melarang orang hendak mengkritik kerana parti ini mengamalkan budaya politik bebas. Setiap pandangan boleh dikemukakan, tetapi nasihat saya ialah kurangkan beri kenyataan dan beri laluan untuk siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Utama yang juga Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformasi hari ini dilaporkan menggesa Putrajaya merehatkan Mohamed Azmin daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi kes video lucah yang dikaitkan dirinya bersama seorang lelaki.

Anwar ketika ditanya adakah kontroversi membabitkan Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR itu turut memberi kesan kepadanya, beliau berkata, dalam politik segala tohmahan sudah biasa dilaluinya sejak dahulu.

“Politik ini, segala tohmahan sudah 20 tahun saya lalui. Saya tengok dalam lingkungan parti ini ia terlalu kecil. Mungkin (tohmanan) ini orang tiada kedudukan, tewas dalam pertandingan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Mohamed Azmin dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

— BERNAMA

Artikel berkaitan:

Otai Reformasi desak Azmin direhatkan

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here