Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR- Penyebaran video lucah yang mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tidak akan membunuh karier politik lelaki itu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Azmin yang dikenalinya adalah seorang lelaki yang mempunyai karakter yang teguh, berpengalaman luas dalam bidang politik dan telah mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia politik sejak awal lagi.

“Secara peribadi, saya mengenali Azmin Alin sebagai seorang individu yang mempunyai karakter yang teguh, seorang ahli politik yang berpengalaman dan beliau telah mengharungi musim politik di Malaysia dari seawal waktu menjadi mahasiswa lagi.

“Beliau hadir dari keluarga yang biasa-biasa, tidak ada latar belakang politik atau kerabat.

“Bapa beliau berkhidmat sebagai askar jadi tidak hairanlah dari mana Azmin Ali mendapat sifat memimpin dan tegas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut menteri termuda negara itu, penyebaran video lucah menggunakan kamera intip bukanlah perkara baharu di Malaysia malah beliau percaya ini bukan yang terakhir.

Ini kerana video-video sedemikian katanya, mudah untuk mempengaruhi persepsi masyarakat sama ada individu yang dituduh terlibat di dalam video berkenaan layak menjadi pemimpin atau tidak meskipun ianya terang-terangan adalah palsu.

Tambah Syed Saddiq, Azmin yang dikenali beliau adalah seseorang yang tidak banyak bercakap sebaliknya suka membuktikan hasil kerja keras beliau melalui pelbagai siri kejayaan.

Azmin juga katanya adalah seorang pemimpin yang cermat merangka strategi dan sekiranya dituduh atau dikaitkan dengan mana-mana skandal, akan membuktikan dirinya tidak bersalah melalui saman sivil.

“Azmin Ali adalah pemimpin yang merangka strategi dengan cermat dan dibuktikan dalam saman sivil, fitnah, krisis air dan campur tangan dari Kerajaan Persekutuan.

“Sepanjang waktu yang sukar ini, keluarga beliau sentiasa menyokong dan menjadi tunjang kekuatan Azmin.

“Mereka perlu melalui banyak tekanan dari kontroversi; dari permusuhan adik beradik antara Azmin, Azwan dan Ummi Hafilda sehinggalah insiden video seks oral Azmin.

“Semua itu dihadapi beliau dengan cermat dan menjadikan beliau seorang ahli politik yang lebih kuat berjuang.

“Jika dilihat dari pengalaman dan sejarah yang Azmin lalui dan harungi, saya secara peribadi percaya beliau akan menempuhi gosip terbaru ini dengan cekal.

“Jika saya adalah musuh Azmin yang merencana insiden tidak bermaruah ini, saya akan tidak senang duduk kerana saya tahu beliau akan kembali dengan lebih kuat.

“Saya mendoakan beliau dan keluarga akan kekal tabah dan terus memimpin Malaysia di masa hadapan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette