Dalam perlawanan play off tempat ketiga dan keempat, penyerang Hanis Nadiah Onn meletakkan Malaysia di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-11, sebelum Fazilla Sylvester Silin menggandakan jaringan pada minit ke-34 ke atas Republik Czech yang menduduki ranking ke-19 dunia.

Malaysia yang di kedudukan ke-22 dunia, mendapat gol ketiga setelah Nur Amirah Shakirah Zulkifli menerima hantaran Nor Faizah Sayuti dan melepasi penjaga gawang  Barbora Cechakova sebelum memukul bola menerjah jaring pada minit ke-60.

Impian skuad wanita Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama, tidak kesampaian selepas pasukan bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah tewas 0-3 kepada pasukan nombor 11 dunia, Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Republik Czech pula tersingkir selepas tumpas 0-4 di tangan pasukan nombor lapan dunia, Ireland dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Hanya pasukan yang mara ke final, Ireland dan Korea Selatan melangkah ke pusingan kelayakan terakhir  Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung pada Oktober dan November tahun ini. – Bernama