KOTA BHARU – Seorang pesakit anak Orang Asli, Nasri Rosli, 3, yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), masih dalam keadaan kritikal.
“Hari ini masuk hari kelapan kanak-kanak ini dirawat di HRPZII, pesakit masih kritikal dan memerlukan sokongan mesin pernafasan,” kata Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazalinya kepada pemberita di HRPZII di sini hari ini.
Katanya, bapa pesakit Rosli Jong, 30, turut dimasukkan ke hospital yang sama akibat jangkitan paru-paru tetapi sudah diisytihar bebas jangkitan itu, namun masih di bawah pemantauan.
Sementara itu, Rosli berkata, dia bersyukur apabila diisytihar bebas daripada jangkitan radang paru-paru namun dalam masa yang sama sedih apabila mengenangkan anak bongsunya masih di tempatkan di PICU.
Katanya, anak bongsunya daripada lima beradik itu sudah lapan hari berada di PICU hospital berkenaan setelah dipindahkan dari Hospital Kuala Krai.
Rosli berkata, dia tidak tahu punca sebenar penyakit tetapi menurutnya dia dan penduduk lain menggunakan air tandak (air bukit) yang didakwa telah tercemar.
“Ekoran daripada itu menyebabkan saya dirawat di HRPZ II selama enam hari selepas mengalami sakit kepala, tekak dan dada sehingga menyukarkan untuk bernafas,” katanya. – Bernama