Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

KEPALA BATAS – Seorang peniaga nasi lemak dan kuih-muih maut manakala suaminya cedera parah selepas gerai mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Bertam Indah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kemalangan kira-kira pukul 10 pagi itu, pasangan suami isteri berkenaan sedang berniaga sebelum sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dari arah Bertam Indah menghala ke Paya Keladi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh gerai mangsa.

“Berikutan rempuhan itu, pasangan suami isteri berkenaan melambung sebelum tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya dalam kawasan Taman Bertam Indah.

“Mangsa wanita, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) kira-kira pukul 12 tengah hari manakala suaminya Mat Subri Saad, 44, masih dirawat di hospital sama dan mengalami kecederaan parah di kepala serta tangan,” katanya di sini hari ini.

Katanya pemandu kereta Proton Iswara berusia 31 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan ujian awal mendapati lelaki itu di bawah pengaruh alkohol.

Noorzainy berkata, ujian air kencing mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang besi itu positif dadah jenis ganja dan pemandu kereta itu juga tiada lesen memandu dan kenderaannya tiada cukai jalan.

“Ujian darah lelaki itu juga telah diambil untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badannya,” katanya.

Katanya, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dibawah pengaruh dadah serta alkohol. – MalaysiaGazette