Mohamed Salah
Mohamed Salah

LIVERPOOL = Mohamed Salah telah menolak tawaran untuk berhijrah berikutan kejayaan Liverpool menjulang Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, pemain warga Mesir itu menyatakan dia akan mengkaji semula situasi itu pada musim panas akan datang.

Real Madrid dan Juventus dikaitkan dengan rekod tawaran sebanyak £150 juta untuk mendapatkan Salah yang merupakan pemain kesayangan The Kop.

Pemain yang telah menjaringkan 71 gol dalam 104 perlawanan untuk skuad Jurgen Klopp dikatakan berminat untuk menyertai Real atau kembali ke bekas kelabnya, Roma.

Bagaimanapun selepas membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan menjadi hero di Anfield, pemain itu berasa masanya tidak sesuai untuk meninggalkan Merseyside.

Klopp sedar tentang perkara itu dan telah terlibat dalam perbincangan dengan pengurusan kelab berhubung ancaman penghijrahan pemain berusia 26 tahun itu.

Selain itu, kelab-kelab utama Eropah juga dikatakan berminat dengan rakan sepasukan Salah, Sadio Mane.

Namun seperti Salah, pemain warga Senegal itu memberitahu Liverpool bahawa beliau gembira bersama pasukan itu.

Kedua-dua pemain kini memberi tumpuan untuk mengakhiri kemarau 30 tahun menjuarai liga. – Agensi