Rafizi Ramli PKR Deputy President
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet disifatkan sebagai satu ujian besar kepada Pakatan Harapan selepas diangkat menjadi kerajaan

Demikian kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memberitahu perkara itu perlu diselesaikan dengan baik agar tidak menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang baru dibina.

“Setiap parti dan kerajaan akan ada ujian besar. Saya bersetuju bahawa ini ujian besar kepada PH sejak ambil alih kerajaan.

“Tetapi pada masa sama ia juga bergantung kepada bagaimana kepimpinan kerajaan dan badan-badan kerajaan menguruskan perkara ini. Jika siasatan pihak berkuasa itu telus, bebas dan tiada campur tangan, itu akan menguatkan lagi kepercayaan rakyat kepada PH,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu ketika ditanya wartawan berhubung cubaan pihak tertentu mengaitkan beberapa pimpinan PKR sebagai dalang penyebaran video lucah tersebut, Rafizi menegaskan tuduhan tersebut berniat jahat serta cuba memburukkan keadaan dan keharmonian dalam kalangan ahli parti.

Katanya, sebarang komen tidak akan membantu, bahkan mengeruhkan spekulasi.

Tambah beliau, adalah lebih baik sekiranhya perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat kerana ia sudah jadi kes jenayah.

“Ini peluang baik kepada kerajaan dan pihak berkuasa membuktikan dalam era Malaysia Baharu, polis bebas untuk menyiasat.

“Perkara ini sedang dibincangkan parti dan saya pasti Biro Politik politik akan buat keputusan sewajarnya kalau ada keperluan.

“Saya tidak akan campur tangan dalam satu pun mesyuarat yang mengenai perkara ini kerana tidak mahu terbabit,” ujarnya.

Dalam satu majlis sambutan hari raya hari ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menggesa Lembaga Disiplin PKR supaya menyiasat dalang yang bertanggungjawab mewujudkan kumpulan Whatsapp untuk menyebarkan aksi jelik rakaman beberapa video lucah.

Menurutnya, langkah tersebut perlu ekoran pihak yang mewujudkan kumpulan tersebut mempunyai maklumat mengenai individu yang hendak dijadikan ahli di laman sosial berkenaan.

Malah, pihak yang bersekongkol dengan pihak terbabit mempunyai maklumat anggota parti di peringkat cabang daripada yang tertinggi mahupun rendah. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/16/siasat-dalang-wujudkan-kumpulan-whatsapp-azmin/