Dr. Suhazeli Abdullah
Dr. Suhazeli Abdullah

KUALA LUMPUR – Serangan penyakit misteri yang menyebabkan 15 masyarakat Orang Asli meninggal dunia, dipercayai dijangkit wabak campak harus dipandang serius.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Ketengah Jaya Dungun, Terengganu, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, setakat ini 37 kes telah disahkan dijangkit wabak itu dan harus menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Kata beliau, penularan penyakit campak terlalu pantas dan jika seorang terkena, 20 orang lagi berisiko akan turut dijangkiti.

“Kematian juga tinggi jika tidak ditangani dengan cepat. Faktor lain juga boleh mempengaruhi seperti kekurangan zat makanan dan tidak mengambil perlindungan melalui imunisasi.

“Setelah berlaku wabak, semua akan terkena sama ada dewasa mahupun kanak-kanak,” katanya menerusi tulisan beliau yang dimuatnaik dalam laman sesawang www.suhazeli.com.

Di Putrajaya hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, seramai 37 daripada 112 Orang Asli suku Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, yang dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan didapati dijangkiti wabak demam campak.

Beliau berkata, 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal, manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh ini ialah wabak (measles) demam campak,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Bersama Petugas Rombongan Perubatan Haji 1440H/2019, hari ini.

Menurut Dr. Suhazeli, jika dilihat dari statistik Kementeian Kesihatan, pengambilan vaksin MMR di kalangan Orang Asli amat rendah.

Katanya, dos vaksin MMR yang pertama 61.5 peratus dan dos kedua hanya 30 peratus, sedangkan vaksin adalah percuma di seluruh premis Kementerian Kesihatan.

“Mungkin kita tidak menuduh mereka itu antivaksin! Mereka juga bukan suka bermain dengan Facebook dan menghasut orang lain untuk menolak vaksin.

“Tetapi, penyakit ini tidak mengenal orang. Mana sahaja peluang yang boleh virus campak boleh masuk, ia akan menyerang dengan senang. Salah satu punca adalah liputan pemberian vaksin amat rendah.

“Tidak munasabah kita yang berada di tengah prasarana yang lengkap ini dan kemudahan kesihatan yang mudah, juga turut mengikuti mereka Orang Asli yang sukar untuk mendapatkan akses kesihatan?” soal beliau,

Katanya, vaksin adalah selamat, berkesan dan boleh mencegah dari penyakit yang berbahaya seperti demam campak. – MalaysiaGazette