Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

JOHOR BAHRU – Ketua PKR Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menyatakan sokongan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan menyatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan seorang yang berdisiplin dan berprinsip.

Beliau percaya Mohamed Azmin bukan watak dalam video seks homoseksual yang sudah tersebar, malahan menyatakan menteri itu tidak mungkin begitu cuai.

Shiau Yoon berkata, sebagai seorang menteri, Mohamed Azmin mempunyai jadual kerja yang padat dan tidak mungkin mempunyai masa terluang untuk lakukan “benda seperti itu”.

Steven yang pernah mengaturkan jadual lawatan Azmin berkata, biasanya Azmin akan bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan terawal dan akan kesibukan sehingga tengah malam.

“Beliau hanya ada masa berehat selama beberapa jam di hotel sebelum ke lapangan terbang pada awal keesokan pagi.

“Video itu didakwa dirakam semasa Pilihan Raya Kecil Sandakan. Ini lagi tidak mungkin kerana banyak orang berada di Sandakan pada masa itu,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Steven yang juga Ahli Parlimen Tebrau berkata, Mohamed Azmin menitik berat keluarga dan selalu mengkhususkan masa petang untuk ahli keluarga.

“Sikap utamakan keluarga ini kadang kala mengundang rungutan ahli parti yang mengharapkan beliau meluangkan lebih banyak masa di negeri-negeri,” katanya mempertahankan Mohamed Azmin.

Shiau Yoon berkata, kejadian video seks yang dilihatnya sebagai konspirasi politik itu tidak akan menjejaskan imej Pakatan Harapan.

“Berdasarkan pengetahuan saya tentang pemimpin ini, beliau tidak mungkin melakukan benda macam ini.

“Pakatan Harapan menjadi tumpuan satu negara kerana baru-baru sahaja mentadbir negara, beliau tidak mungkin begitu cuai dalam urusan peribadi terutamanya pada tempoh masa seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette