Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah selari dengan kelemahan global dan data perindustrian China yang perlahan, memberi tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang lemah dan penurunan permintaan di tengah-tengah konflik perdagangan AS-China yang berlarutan.

Pada 9.01 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.56 mata kepada 1,638.07 daripada 1,638.07 pada 5 petang Jumaat.

Indeks dibuka 0.3 lebih baik pada 1,638.93.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 108 berbanding 102, dengan 172 kaunter tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 34 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 83.08 juta bernilai RM43.67 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata keadaan pasaran di bursa tempatan kekal hambar berikutan ketiadaan pemangkin baharu dan keadaan FBM KLCI yang masih kukuh akan menyebabkan sentimen kembali pulih.

“Seperti sedia maklum, kebimbangan masih memberi kesan terhadap keadaan ekonomi global ketika pertikaian perdagangan AS-China berlarutan. Oleh itu, kami berpendapat indeks utama akan bergerak ke aliran menurun disebabkan oleh trend semasa ini, ” katanya dalam nota.

Firma penyelidikan itu berkata keadaan itu akan turut menjejaskan saham murah dan kedudukan pasaran saham secara menyeluruh berikutan terdapat tanda-tanda awal kelemahan selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini.

Menurutnya, aktiviti pengambilan untung mungkin meningkat berikutan terdapat hanya beberapa pemangkin sahaja untuk meningkatkan sentimen pasaran buat masa ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.95, Public Bank turun empat sen kepada RM23.08, Tenaga meningkat 12 sen kepada RM12.30 manakala Maxis kekal pada RM5.58.

Bagi saham aktif, Greatech menokok 0.4 sen kepada 85 sen, industri Malayan United dan SMTrack masiang-masing naik satu sen kepada 25 sen dan 18.5 sen manakala Priceworth tidak berubah pada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 3.05 mata kepada 11,561.60, Indeks FBMT 100 merosot 3.36 mata kepada 11,409.15, tetapi Indeks Syariah FBM Emas naik 8.05 mata kepada 11,796.29.

FBM 70 turun 2.11 mata kepada 14,378.92 dan FBM Ace susut 2.59 mata kepada 4,384.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.37 mata kepada 16,704.10 dan indeks Produk & Perkhidmatan Industri turun 0.22 mata kepada 160.13, tetapi Indeks Perladangan naik 1.09 mata kepada 6,872.17. – MalaysiaGazette