Dr. Zakir Naik

TELUK INTAN – Kerajaan akan mengadakan perbincangan secara terperinci di dalam Kabinet berhubung proses menghantar pulang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik sekiranya menerima permohonan secara rasmi daripada kerajaan India.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata langkah-langkah sewajarnya akan diambil berhubung proses mengekstradisi pendakwah itu kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan India.

“Kerajaan (Malaysia) perlu mengambil kira pelbagai faktor dan segala tindakan akan diambil setelah menerima permintaan rasmi daripada kerajaan India. Saya tidak akan komen lebih lanjut sebelum ada apa-apa permintaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), kerajaan belum menerima sebarang permohonan daripada India bagi mengekstradisi pendakwah berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi seorang mangsa banjir pada Program Hero Tak Didendang di Kampung Batu 9, Changkat Jong di sini, hari ini.

Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh, 22, yang baharu melahirkan bayi lelaki terpaksa meredah banjir untuk menyelamatkan anak dan dirinya dalam keadaan berpantang ketika bencana itu melanda sekitar kawasan berkenaan pada 6 Jun lalu.

Semalam, Dr Wan Azizah berkata tiada keperluan untuk kerajaan Malaysia menghantar pulang Zakir ke negara asalnya kerana belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan India sehingga kini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas New Delhi dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.- BERNAMA