Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan yakin kerajaan Persekutuan akan membuat pembayaran royalti petroleum kepada negeri itu walaupun telah beberapa kali diberi tempoh penangguhan, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Katanya kerajaan Kelantan setakat ini akan mengambil pendekatan menunggu keputusan terbaharu daripada kerajaan Persekutuan selepas semua prosedur berkaitan penarikan balik saman ke atas Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selesai.

“Memang kita tidak diberikan satu tarikh tertentu mengenai pemberian royalti kepada Kelantan setakat ini namun saya yakin kerajaan persekutuan akan menunaikannya,” katanya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rozi Muhamad (PAS-Tendong) yang mahu mengetahui sama ada kerajaan negeri mendapat jaminan baharu daripada kerajaan Persekutuan berhubung pemberian royalti petroleum.

Ahmad turut menaruh keyakinan bahawa kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyeleweng berhubung perkara itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan akan menunaikan pembayaran balik royalti minyak itu pada bukan April lepas, sebaik sahaja selesai proses menarik balik saman terhadap Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selesai.

Namun kerajaan Persekutuan masih menangguhkan bayaran itu bagi pendengaran semula kes penarikan balik saman berkenaan yang dijangka pada September ini.

Persidangan DUN bersambung esok.- BERNAMA