Ismee Ismail
Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail ketika hadir hari ke-26 perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan Tan Sri Ismee Ismail menggunakan perkataan ‘tersirat’ merujuk kepada peranan bekas Perdana Menteri dalam SRC International Sdn Bhd selaku penasihat emeritus mengundang ketidakpuasan hati peguam bela.

Harvinderjit Singh sempat berhujah seketika dengan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu apabila saksi ke-39 tersebut tidak bersetuju dengan cadangannya, iaitu lembaga pengarah pada 2011 dan 2012 tidak memerlukan kelulusan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membuat keputusan SRC International.

Menurut Harvinderjit, cadangannya itu senada dengan Memorandum dan Atikel (M&A) syarikat yang mana Najib akan dirujuk sebagai nasihat bukan pemberi kelulusan untuk sebarang keputusan.

Namun Ismee yang tidak bersetuju menjawab, wujud perkara tersirat dalam peranan itu dan ia tidak terhad kepada memorandum tersebut.

Saya pasti artikel itu tidak boleh mengatakan demikian, bukankah begitu? Tindakan syarikat itu, suatu arahan atau kelulusan. Itulah sebabnya saya katakan hal ini merupakan salah satu perkara yang tersirat,” kata Ismee yang kemudian mengundang hujahan oleh Harvidnerjit.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram seterusnya membantah tindakan peguam bela Najib itu.

“Kamu tidak sepatutnya berhujah dengan beliau, kamu sepatutnya mendapatkan jawapan (daripadanya),” katanya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Harvinderjit bagaimanapun memohon maaf kepada Mahkamah Tinggi.

Ismee merupakan saksi ke-39 yang memberi keterangan selama enam hari untuk perbicaraan dakwaan penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

Sebelum perbicaraan ditangguhkan sehingga esok, Ismee tidak menolak kemungkinan dokumen yang berasal daripada CEO syarikat Nik Faisal Ariff Kamil boleh diragui ketulenannya.

Ini sejurus selepas kesimpulan yang dibuat Harvinderjit Singh berdasarkan keterangan Ismee enam hari, mengenai dokumen minit mesyuarat lembaga pengarah SRC International dan resolusi daripada para pemegang saham syarikat.-MalaysiaGazette