KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem baharu yang memaparkan tiga variasi “Asam” yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia iaitu Asam Kelubi, Asam Embang dan Asam Kandis.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Haidan Abdul Rahman berkata, siri itu akan menonjolkan kegunaan dan kepelbagaian asam dan bagaimana tumbuhan tersebut membiak di persekitaran semulajadi.

“Seringkali asam dijadikan jeruk dan siri ini akan memaparkan sisi lain kegunaan asam di dalam masakan dan perubatan yang selama ini jarang diketahui oleh masyarakat kita.

“Bukan itu saja, siri ini turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali tumbuhan dan bentuk asal asam,” katanya kepada pemberita pada sesi pengenalan siri setem tersebut di sini hari ini.

Para pengumpul dan peminat setem boleh mendapatkan koleksi itu bermula pada Rabu ini.“Hanya 600,000 keping setem atau 200,000 keping untuk setiap rekaan dihasilkan.

Lebih menarik, Lembaran Mini (MS) pada siri ini didatangkan dalam bentuk khas octagon memanjang yang bertebuk dan menampilkan bentuk Asam Jawa,” katanya.

Tambahnya, MS tersebut hanya dicetak sebanyak 22,000 keping pada harga RM3 setiap satu manakala cap tarikh khas pula memaparkan gabungan kesemua buah asam yang diketengahkan dalam siri tersebut.

Antara produk filateli lain bagi siri ini adalah Sampul Surat Hari Pertama (FDC) yang dicetak sebanyak 27,000 dengan harga RM0.50 setiap satu di samping 1,600 keping folder yang boleh didapati pada harga RM6 setiap satu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn Bhd, Alias Ali yang turut hadir berkata, pemilihan produk asam sebagai paparan setem merupakan satu penghargaan kepadanya yang mengusahakan jeruk asam yang dikenali sebagai Jeruk Madu Pak Ali.

“Ini kerjasama pertama antara kami dan Pos Malaysia dan sudah tentu pihak kami sangat teruja. Pemilihan asam sebagai paparan dilihat sebagai cara terbaik dalam mengenalkan masyarakat kepada buah asam yang sekarang ini semakin pupus,” katanya.– BERNAMA