Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk, tengah) berbual mesra pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysian Indian Muslim Chamber of Commerce and Industry (MIMCOIN) diiringi Presiden MIMCOIN, Datuk Syed Jamarulkhan (duduk, tiga kiri) di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

PETALING JAYA – Sesuatu yang tidak masuk akal untuk menuduh saya sebagai dalang penyebaran video lucah melibatkan seorang menteri  tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Itu kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap dakwaan itu tidak berasas.

“Siapa kata? Apa bukti yang boleh diberikan. Tidak masuk akal. Kamu tidak boleh kata benda yang tidak benar. Itu sesuatu yang buruk.

“Jangan alih isu, kita ada masalah dan kena berdepan dengan isu itu. Ia tidak selesaikan apa-apa masalah dengan melemparkan syak-wasangka kepada sesiapa,” katanya kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) malam tadi.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjawab persoalan media mengenai dakwaan kononnya beliau terbabit dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mahu lembaga disiplin parti menyiasat dalang di sebalik penyebaran video lucah yang dikaitkan dengannya.

Mohamed Azmin berkata, jika parti mahu terus kekal relevan dan diterima rakyat, kepimpinan PKR perlu berani melakukan sesuatu berhubung perkara itu.

MGF17062019_RUMAH TERBUKA MIMCOIN_11
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysian Indian Muslim Chamber of Commerce and Industry (MIMCOIN) di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 17 JUN 2019

Dalam pada itu, Anwar juga berkata, dakwaan kononnya penyebaran video itu didalangi kem beliau dan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hanya bertujuan memecah belahkan parti.

Ditanya mengenai laporan SBS News atau Special Broadcasting Service yang menyiarkan pandangan pakar mengenai kesahihan video berkenaan, Anwar berkata, biar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat penjelasan dan meminta agar rakyat bersabar.

“Kita serah kepada pihak polis jadi biar (mereka lakukan siasatan). Saya tidak mahu buat apa-apa telahan, kita boleh baca tapi yang sahnya kita kena dengar daripada PDRM,” katanya lagi.

Hari ini, SBS News yang berpangkalan di Australia menerusi pakar forensik digital, Kevin Nguyen melaporkan tidak ada bukti foto atau manipulasi imej kepada keempat-empat video lucah berkenaan.

Anwar dalam pada itu menjelaskan bahawa PKR masih kukuh dan berada dalam tahap optimum.

Jelasnya, isu ini tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan ahli parti mahupun kepimpinan.

“Parti masih kukuh semua cabang di Sabah, Sarawak semua kepimpinan datang. Mereka datang dan tanya soalan. Semua kepimpinan ada.

“Mestilah rakyat mahu tahu apa yang berlaku dalam parti dan itu adalah sahih,” katanya lagi. -MalaysiaGazette