Mohd. Shaid Rosli.
Mohd. Shaid Rosli.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan syarat Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Damansara, Mohd Shaid Rosli berkata, proses peralihan kuasa sebagaimana dijanjikan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berjalan lancar sekiranya prosedur yang dinyatakan itu diikuti.

Katanya, beberapa pihak dalam parti Pakatan Harapan (PH) perlu membuat gesaan agar Dr. Wan Azizah berundur sekiranya beliau mahu suaminya yang merupakan Presiden PKR mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Dengan peletakan jawatan Dr. Wan Azizah akan memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Gesaan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir untuk melantik Anwar sebagai perdana menteri tidak masuk akal sama sekali.

“Tidak mungkin dalam pelantikan perdana menteri kepada Anwar sedangkan kedudukan timbalan perdana menteri itu masih lagi Dr. Wan Azizah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram berkata, isu pelantikan perdana menteri juga seharusnya mengikut persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), bukan dari satu parti sahaja.

Bahkan, beliau turut menegur kepimpinan PKR dan anggotanya yang mengaitkan isu sensasi berkaitan video seks yang tular dan masih dalam siasatan polis itu dengan mana-mana pihak dalam komponen PH.

“Biarlah isu dalaman PKR diselesaikan oleh kepimpinan parti PKR itu sendiri. Keharmonian kerjasama parti dalam PH sangat penting dalam membina Malaysia Baharu,” katanya. – MalaysiaGazette